Blog about Fish Feed Technology and Aquaculture System.....HOW CAN Keli Omega 3 BE FREE …? Solution : Keli Omega 3 is supported by the advertising shown on each of its pages. You are helping to support Keli Omega 3 every time you see an advertisement,visits the link or signup with a service advertised by our sponsors...or make a donation at the link provided..Thanks you...and you are welcome to visits us again.……

18 Jun 2009

Ternak ikan modal sendiri

Pengusaha ternakan ikan dalam sangkar di Kampung Lada, Jerantut, Pahang pernah meminta bantuan daripada beberapa agensi berkaitan tetapi semua permohonan itu ‘senyap’ tanpa sebarang khabar berita.

PADA cuti sekolah, Isharum dibantu oleh anaknya untuk memberi ikan makan.

WALAUPUN tidak pernah menerima apa-apa bantuan daripada pihak yang berkaitan dengan perkembangan industri ternakan ikan air tawar, tiga rakan kongsi yang mengusahakan ternakan ikan air tawar dalam sangkar di Jerantut, Pahang cekal meneruskan projek ternakan mereka.

Pengusaha ikan sangkar tersebut, Isharum Bujang, 47, dan dua rakan kongsinya, Mohamad Zuhran Mat Ali, 36, dan Zanuari Abdul Halim, 42, mendakwa sejak mereka mengusahakan ternakan ikan sangkar tujuh tahun lalu, mereka tidak pernah menerima apa-apa bantuan untuk membolehkan mereka mengembangkan projek yang dijalankan di Sungai Pahang itu.

Isharum yang merupakan seorang bekas tentera berkata, mereka memulakan projek itu pada tahun 2002 dan antara usahawan yang terawal menggerakkan projek ternakan ikan sangkar di Jerantut.

"Kami memulakan projek ini dengan menggunakan duit sendiri sebanyak RM10,000. Bermula dengan beberapa sangkar, kini kami mempunyai 80 sangkar bersaiz 10 kaki (lebar), 12 kaki (panjang) dan lima kaki (dalam).

"Walaupun tidak pernah menerima bantuan, kami berbangga kerana projek kami merupakan yang terbesar di Jerantut,'' katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di tapak projeknya di Kampung Lada, Jerantut Feri, Jerantut, Pahang baru-baru ini.

Tinjauan Kosmo! mendapati setiap satu sangkar mengandungi antara 1,500 hingga 2,000 ekor ikan. Jenis ikan yang dipelihara ialah tilapia dan patin.

Mengulas lanjut, Isharum berkata, pihaknya pernah meminta bantuan daripada beberapa agensi yang berkaitan termasuk Mara tetapi semua permohonan itu 'senyap' tanpa sebarang khabar berita.

Ditanya adakah permohonan bantuan itu dibuat mengikut prosedur dan apakah contoh bantuan yang pernah dipohon, katanya, setiap permohonan yang dihantar kepada pihak berkaitan adalah lengkap. Terbaru, pihaknya ada memohon bantuan untuk membuat jalan batu kapur berjarak 150 meter dari jalan raya utama ke tapak projek.

"Jumlah peruntukan yang kami minta tidaklah banyak iaitu kira-kira RM5,000 sahaja. Kos itu diperlukan untuk membina jalan batu kapur, bukannya jalan berturap tar," katanya dalam nada kesal.

Menurutnya, ketiadaan jalan yang sempurna menyebabkan mereka sukar mengangkut ikan yang telah matang untuk dihantar kepada pemborong.

"Selama ini, kami guna motosikal untuk mengangkut guni-guni ikan dari sangkar ke jalan raya utama. Tetapi kalau musim hujan, jalan terlalu becak dan tidak boleh dilalui motosikal. Ini memaksa kami memikul guni-guni ikan yang berat itu di atas bahu untuk dibawa keluar," ujarnya lagi.

ISHARUM (depan) menyauk ikan tilapia yang telah matang untuk dijual.

Justeru, Isharum dan rakan-rakannya berharap pihak berkenaan prihatin dengan nasib mereka yang bergantung hidup pada hasil tuaian ikan untuk menyara keluarga.

Mengenai rancangan pada masa akan datang, Isharum berkata, pihaknya mahu menambah bilangan sangkar ikan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

"Sebenarnya, projek ini mampu menjana pendapatan yang lumayan jika orang kampung seperti kami menerima bantuan yang sewajarnya untuk menampung kekurangan modal," katanya lagi.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan menyerah kalah dan akan terus memohon bantuan dari semasa ke semasa.

Rakan kongsinya, Mohamad Zuhran pula berkata, disebabkan gagal menambah sangkar kerana kekurangan modal, pihaknya hanya mampu membekalkan hasil ternakan ikan di sekitar bandar Jerantut.

"Nak tambah sangkar, kami memerlukan antara RM3,000 hingga RM4,000, bergantung kepada saiz untuk membina satu sangkar. Dalam keadaan ekonomi sekarang, tentulah sukar untuk kami menambah bilangan sangkar jika tidak menerima apa-apa bantuan,'' katanya.

Selain itu, soal anak benih dan makanan ikan (palet) turut menguji kesabaran mereka. Ini kerana kualiti anak benih dan makanan ikan yang dibeli daripada pembekal berbeza pada setiap kali pembelian baru dibuat.

"Agak menghairankan kerana kualitinya sentiasa berbeza, sedangkan kami mendapatkan bekalan itu daripada pembekal yang sama," katanya.

Bercerita lanjut, Mohamad Zuhran memberi contoh, pada kali pertama membeli benih ikan daripada pembekal, harga yang ditawarkan ialah RM1,000 dan jika benih baik, hasil yang dituai boleh mencecah nilai yang lebih tinggi.

Tetapi, katanya, pembelian benih buat kali kedua daripada pembekal yang sama tidak menjamin hasil yang baik.

"Harga benih ikan yang dibeli mencecah RM1,000 untuk satu sangkar tetapi apabila musim menuai tiba, setiap sangkar hanya mendatangkan hasil bernilai RM500.

"Ini membuatkan kami rugi sebanyak RM500. Ia berlaku kerana tumbesaran ikan bergantung pada kualiti benih dan makanan. Bayangkan jika semua sangkar memberi hasil yang sama. Tentulah besar kerugian yang terpaksa kami tanggung," katanya yang berharap supaya langkah tertentu dilakukan bagi mengawal kualiti benih dan makanan ikan yang dijual di pasaran.


Beliau juga berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Wan Amizan Wan Abdul Razak dapat campur tangan dalam hal tersebut bagi memastikan pengusaha seperti mereka menerima bantuan yang sewajarnya daripada kerajaan.

Seorang lagi rakan kongsi projek itu, Zanuari pula berkata, biasanya selepas lima hingga enam bulan, mereka sudah boleh menjual ikan yang diternak. Ini bermakna sebanyak dua kali dalam setahun, ikan-ikan ternakan sangkar mereka akan berada di pasaran.

"Berat seekor ikan, biasanya antara 500 hingga 600 gram. Setiap sangkar pula boleh menghasilkan 60 guni bagi sekali tuai jika kualiti benih dan makanan ikan tiada masalah. Kami hanya pasarkan di pasar tani, pemborong dan pasar Jerantut sahaja. Bukannya tidak ada permintaan dari luar tetapi kami tidak mampu memenuhinya kerana kekurangan modal untuk menambah sangkar," katanya

0 ulasan: