AGAK lama Bidai tidak menulis di halaman ini disebabkan kekangan kerja hakiki dan terpaksa keluar negara menyelesaikan tugas.
Rindu nak menulis dan mengulas mengenai isu alam sekitar ditambah dengan pelbagai isu yang timbul membuatkan tangan gatal nak menulis.
Bagi Bidai walaupun tidak dapat setiap minggu, sebulan sekali menulis ada juga baiknya sebab apa yang akan Bidai ulas betul-betul satu isu panas yang memerlukan pemerhatian pihak berkuasa.
Ini yang terjadi baru-baru ini. Sebulan selepas Bidai diberi surat penghargaan ekoran mengeluarkan kenyataan daripada Jabatan Perikanan mengenai isu yu paus (Rhincodon typus) yang dibawa pulang atau mati dalam pukat nelayan, kita dikejutkan lagi dengan satu berita yang sama.
Ia seolah-olah tidak membawa kesan dengan apa yang Bidai tulis dan apa yang Jabatan Perikanan terangkan.
Sebagai rekod, 20 Mac lalu, seorang tekong bot warga Thailand, Ek Chai Suwanpong, 46, membawa pulang yu paus yang dianggarkan seberat dua tan.Kata Suwanpong, dia tidak tahu ikan itu dilindungi dan ikan itu dakwa sudah mati ketika ditemui di Kuala Besar dekat Kota Bharu. Lalu dia terus membawanya balik ke jeti Kekal Lestari, Tok Bali, Pasir Puteh.
Apa yang menarik, gambar yang disiarkan dalam akhbar menunjukkan tekong itu berusaha menaikkan ikan itu ke darat. Apa motif dia bawa balik ikan itu ke darat? Bukan Bidai sorang, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam entri blog beliau (www.chedet.cc) pun menyatakan perkara yang sama.Beliau hairan kenapa ikan yang tidak mempunyai nilai komersial itu ditunda pulang dan kata beliau, mungkin ada orang yang mahu mendapatkan siripnya.
Itu kata Tun. Tapi bagi Bidai, sedikit kecewa pada hari ikan itu ditunda di mana ada kakitangan Jabatan Perikanan yang tidak dapat mengenal pasti dengan baik yu paus itu. Menurut Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan Kelantan, Azhar Jusoh, ketika itu pihaknya belum dapat mengenal pasti jenis ikan itu. Tetapi berdasarkan pengamatan awal ia mungkin dari spesies yu.
Ini yang Bidai risaukan. Sepatutnya seorang pegawai penyiasat Jabatan Perikanan tahu dan dapat mengenal pasti spesies yang dilihat.Tidak nafikan bukan semua spesies mereka perlu tahu. Tetapi pegawai terbabit sepatutnya ada buku-buku panduan spesies ikan di perairan kita yang melambak di pasaran.
Ini yang Bidai lakukan. Beli buku-buku berkenaan sebagai panduan dan bila ditanya orang, kita mampu memberi panduan dengan kredibiliti dan bukan hanya berkata: "Setakat ini kita rasa..."
Bidai berharap mereka terutama pegawai penyiasat perlu menambahkan ilmu pengetahuan dengan mengambil tahu semua spesies ikan yang ada di negara ini dan bukan hanya beberapa ikan komersial sahaja. Tapi di sebalik perasaan tidak puas hati Bidai itu, sedikit kelegaan apabila melihat Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub sendiri yang mengadakan sidang akhbar menerangkan isu itu di tempat kejadian.
Jika sebelum ini Bidai melihat tiada pembelaan dilakukan atas spesies yang dilindungi bawah Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999, kali ini ada sedikit sinar tapi masih boleh diperbaiki. Jika sebelum nelayan yang menunda balik yu paus itu terlepas daripada sebarang tindakan, kali ini mereka disiasat atau mungkin dikenakan tindakan.Ia satu tindakan proaktif yang ditunggu-tunggu orang ramai.
Cuba jadikan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebagai contoh. Mereka banyak menjalankan siasatan dan tangkapan sejak akhir-akhir ini selain mendakwa mereka yang disyaki di mahkamah.Ini yang kita mahu di mana penguatkuasaan yang ketat sehingga nelayan tidak berani angkat kening.
Bukan kita mahu sekat rezeki nelayan. Bagi Bidai kalau Jabatan Perikanan dah bagi lesen had mana dia orang boleh memukat, pergilah, bawalah balik mengikut had yang ditetapkan. Kalau ikan yang dikategorikan sebagai dilindungi, mati atau hidup biarlah ia di laut. Tidak perlu jadi 'hero' kemudian reka cerita macam-macam untuk membawa balik ikan itu ke darat.
Buatlah ikut peraturan, Bidai percaya rezeki mereka akan lebih baik.Bagi Bidai, tak ada alasan untuk mana-mana nelayan membawa pulang sebarang ikan yang diancam kepupusan ke darat kerana mereka mempunyai pilihan lebih baik daripada bersusah payah tunda ikan itu.Kalau alasan takut bot lain terlanggar ikan berkenaan, itu tidak boleh dipakai. Sebagai nelayan, mata mereka lebih tajam sehingga satu titik cahaya dapat dibezakan warnanya. Jadi ikan sepanjang tujuh meter itu sudah tentu tidak menjadi masalah bagi mereka.
Bagi Jabatan Perikanan pula, mereka perlu meneruskan penerangan dan promosi mengenai isu ikan yang diancam kepupusan selain ikan yang dikawal oleh Akta Perikanan 1985 dan jangan berhenti setakat satu dua seminar sahaja.Lekatkan poster mengenai ikan-ikan itu dalam bot supaya nelayan tahu apa yang mereka perlu lakukan.
Fikirkanlah...
0 ulasan:
Comment/FAQ