NEW YORK - Setelah hampir sebulan menjadi ikon sebuah restoran di sini, seekor udang kara tua bakal dilepaskan balik ke laut habitat asalnya hasil kempen sebuah badan alam sekitar.
Dikenali dengan nama George, spesies tersebut dikatakan sudah berusia 140 tahun dan mendapat perhatian ramai apabila menjadi maskot untuk sebuah restoran di bandar raya ini.
Haiwan eksotik dengan berat lebih sembilan kilogram itu ditangkap oleh nelayan di luar pantai Kanada dua minggu lalu sebelum dijual pada harga AS$100 kepada Keith Valenti.
Pengurus restoran City Crab and Seafood itu membeli George kerana tertarik dengan saiznya yang besar dan mula menggunakan haiwan itu sebagai maskot unik kedai makanannya.
"Dia berjaya menarik perhatian kanak-kanak dan promosi itu berkesan," jelasnya yang tidak pernah terdetik dalam fikiran untuk memulangkan semula George ke laut.
Ujarnya, usia udang kara dapat dipastikan berdasarkan berat badan yang menggambarkan umur hidupan laut itu. Setiap 4.5 kilogram berat bersamaan dengan usia tujuh hingga 10 tahun.
"Jarang udang kara dapat hidup hingga berusia lebih 100 tahun, malah amat sukar untuk menangkap dan memasukkannya ke dalam bakul tangkapan," kata Valenti lagi.
Menurut sebuah kumpulan pencinta haiwan tempatan, mereka mendapat tahu mengenai nasib udang kara tua itu apabila menerima satu jemputan makan malam.
"Kami menghargai pengunjung restoran yang bersimpati dan membenarkan udang ini kembali ke laut menjalani kehidupan dengan aman dan damai," kata jurucakapnya.
0 ulasan:
Comment/FAQ