Blog about Fish Feed Technology and Aquaculture System.....HOW CAN Keli Omega 3 BE FREE …? Solution : Keli Omega 3 is supported by the advertising shown on each of its pages. You are helping to support Keli Omega 3 every time you see an advertisement,visits the link or signup with a service advertised by our sponsors...or make a donation at the link provided..Thanks you...and you are welcome to visits us again.……

16 Jun 2009

Pelihara ‘Permata Air Hitam’

Oleh MELATI MOHD ARIFF

Lebih 60 peratus atau 20 juta hektar daripada keluasan tanah gambut tropika dunia terletak di Asia Tenggara terutamanya di Malaysia dan Indonesia.

HUTAN Paya Gambut (HPG) bukan semata-mata hutan yang digenangi air. Ia merupakan ekosistem yang unik terdiri daripada hidrologi, tanah dan tumbuhan.

HPG lazimnya tumbuh selepas hutan paya bakau pesisiran pantai, meliputi kawasan lebih 3 kilometer (km) hingga 5 kmdi dataran landai sungai.

Di dalamnya gambut yang kebanyakannya terdiri daripada bahan tumbuhan separuh reput (proses pereputan sepenuhnya terhad kerana keadaan asidik serta ketiadaan aktiviti mikro-organisma) terkumpul lebih 8,000 tahun, boleh setebal di antara 8 meter hingga 20 meter.

Paya ini menyediakan pelbagai hasil hutan dan perkhidmatan sama ada secara langsung dan tidak langsung, dalam bentuk produk perhutanan dan perikanan, pengawalan banjir, bekalan air dan sumber bekalan air bawah tanah.

Air di paya gambut secara umumnya mengandungi bahan-bahan humus yang tinggi. Bahan humus menjadikan air paya gambut berwarna perang atau hitam. Atas sebab inilah air paya gambut acap kali disebut sebagai ‘Permata Air Hitam’.

Semakin susut

HPG adalah penting kerana keluasan tanah dan kepelbagaian biologinya. Lebih 60 peratus atau 20 juta hektar daripada keluasan tanah gambut tropika dunia terletak di Asia Tenggara terutamanya di Malaysia dan Indonesia.

Di Malaysia, HPG merupakan hampir 75 peratus daripada jumlah kawasan tanah lembap meliputi kawasan seluas kira-kira 1.6 juta hektar. Lebih daripada 80 peratus daripadanya terletak di Sarawak.

Pada 1981 Semenanjung Malaysia boleh berbangga dengan kawasan hutan paya gambut seluas kira-kira 670,000 hektar. Bagaimanapun, jumlah tersebut susut hampir separuh kepada kira-kira 340,000 hektar sedekad yang lalu apabila semakin banyak hutan dibuka untuk kegunaan perindustrian dan pertanian termasuk ladang getah dan kelapa sawit, di samping perumahan.

Kira-kira 67 peratus HPG di Semenanjung dilindungi dalam lingkungan Hutan Simpan Kekal (HSK) sementara bakinya dikenali sebagai hutan tanah kerajaan.

Hampir kesemua HPG yang terletak dalam lingkungan HSK dikelaskan sebagai hutan pengeluaran yang membolehkan aktiviti pembalakan secara berkekalan dilaksanakan. HPG yang terletak di dalam hutan tanah kerajaan bagaimanapun secara umumnya boleh ditukar kepada kegunaan-kegunaan lain.

PAK NGALAN (tengah) dan keluarganya adalah antara penduduk Orang Asli yang bergantung hidup pada hasil sumber hutan paya gambut seperti ikan dan rotan di Pahang.

Kehilangan besar

Menurut Dr Abdul Rahim Nik, Pengarah Projek Kebangsaan untuk Projek HPG ini, kebanyakan kawasan HPG di luar hutan simpan yang dibalak mengalami degradasi (kemerosotan) serius dengan pemulihan tumbuhan paya gambut yang kurang baik dan terdedah kepada ancaman kebakaran hutan.

“Kaedah pembalakan serta operasi pengendalian yang khusus diperlukan untuk mengeluarkan kayu balak daripada HPG sebagai langkah mengurangkan kehilangan kepelbagaian biologi dan kepadatan tanah,” katanya.

HPG tropika Malaysia serta flora dan fauna yang mendiami habitat ini mempunyai kepentingan nasional dan global.

Dr Abdul Rahim berkata, HPG Malaysia bukan sahaja ekosistem yang unik yang merupakan ‘rumah’ bagi banyak spesies endemik malah menyediakan perlindungan untuk populasi lebih 60 spesies haiwan yang hampir pupus.

Senarai haiwan yang hampir pupus itu termasuk Orang Utan, monyet Proboscis, badak sumbu Sumatera, gajah Asia, harimau, memerang Civet, Storm’s Stork dan sejenis burung kenyalang ‘Wrinkled Hornbill’.

Beliau turut menjelaskan kebanyakan hutan lembap juga menjadi bank gen atau baka untuk spesies tumbuhan yang berpotensi kegunaannya, selain menyediakan produk hutan yang tinggi nilainya seperti kayu balak dan makanan.

“Banyak lagi spesies yang masih belum dikenali menunggu untuk dijumpai,” kata Dr Abdul Rahim.

Projek lima tahun

Kawasan HPG yang semakin susut terutamanya di Semenanjung Malaysia telah meyakinkan kerajaan Malaysia untuk melaksanakan projek lima tahun, ‘Pemuliharaan dan Penggunaan Berkekalan Hutan Paya Gambut Tropika dan Ekosistem Tanah Lembap,’ bermula pertengahan 2002.

Projek ini diselaraskan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan dilaksanakan oleh Jabatan-Jabatan Perhutanan Pahang, Sarawak dan Sabah. Tujuan utama projek ini adalah untuk menghasilkan pelan pengurusan bersepadu bagi menjamin pemuliharaan dan penggunaan berkekalan hutan-hutan yang mempunyai kepentingan global ini.

Tiga lokasi dipilih untuk projek ini iaitu Taman Negara Loagan Bunut (LBP) di Sarawak, Semenanjung Klias di Sabah dan Hutan Paya Gambut Tenggara Pahang (SEPPSF).

Pahang yang meliputi hutan simpan Pekan, Nenasi, Kedondong dan Resak mempunyai bahagian terbesar hutan simpan di Semenanjung Malaysia iaitu sekitar 97,000 hektar.

Menurut Dr Abdul Rahim, setiap lokasi yang dipilih terdiri daripada ekosistem HPG yang kompleks dan secara kolektif menyokong kehidupan sekurang-kurangnya 60 spesies tumbuhan dan haiwan yang penting.

Projek ini dibiayai Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP/Global Environmental Facility (GEF) dengan kerjasama Danish International Development Assistance (Danida).

Bagaimanapun, menurut Dr Abdul Rahim, Danida hanya terlibat dalam kajian hidrologi yang dijalankan dalam tempoh tiga tahun pertama daripada projek lima tahun itu.

Takungan karbon

Memulihara HPG amat perlu bukan sahaja untuk memastikan penggunaan berkekalan kawasan yang kaya dengan sumber dan tempat perlindungan spesies yang semakin pupus tetapi juga untuk mengekalkan kestabilan alam sekitar.

Menurut Dr Efransjah, Ketua Penasihat Teknikal projek HPG UNDP ini, hutan-hutan berkenaan juga bertindak sebagai takungan karbon yang membantu memperlahankan pemanasan global.

“Kelangsungan hidup HPG bergantung terutamanya kepada paras air semula jadi yang menghalang tanah daripada menjadi kering yang boleh mendedahkan bahan gambut yang mudah terbakar. Justeru menurunkan paras air atau penebangan pokok tanpa kawalan boleh mengancam kesejahteraan hutan paya gambut dan meningkatkan kemungkinan berlaku kebakaran hutan secara besar-besaran.

“Sekiranya keadaan ini berlaku, sejumlah besar karbon dioksida boleh dilepaskan ke atmosfera yang hanya memburukkan lagi pemanasan global dan boleh juga mengganggu iklim dunia,” tegas Dr Efransjah yang pernah berkhidmat dengan Jabatan Perhutanan Indonesia sebelum menyertai UNDP.

Dianggarkan bahawa 10 meter dalam paya gambut boleh menyimpan 5,800 tan karbon satu hektar berbanding hanya 500 tan di hutan-hutan tropika jenis yang lain.

HUTAN paya gambut bertindak sebagai span yang menyerap air bagi menghalang limpahan air yang banyak.

Pelan menyeluruh 20 tahun

PROJEK Hutan Paya Gambut (HPG) UNDP yang kini memasuki tahun kelima dan terakhir pelaksanaannya bukan sahaja mengumpul banyak maklumat malah berjaya menjalin hubungan erat dengan masyarakat tempatan.

Projek tersebut juga telah menghasilkan proses dan prosedur untuk kerjasama dan penyeliaan dalam kalangan agensi awam dan swasta yang terlibat.

Dengan merujuk kepada usaha yang dijalankan di Pahang, Ketua Penasihat Teknikal projek HPG UNDP, Dr Efransjah menjelaskan, pasukan kerja yang terlibat dengan projek berkenaan mengambil masa lebih setahun untuk melakukan tinjauan dengan bantuan pakar flora dan fauna untuk mendapatkan maklumat apa yang terkandung di dalam hutan paya gambut itu.

“Kami mengambil sekurang-kurangnya setahun kemudiannya untuk menganalisis hasil penemuan. Pengetahuan yang boleh dikumpul dari hutan-hutan ini tiada penghujungnya. Kita mungkin memerlukan bertahun-tahun untuk mengkaji sepenuhnya tetapi apa yang kami buat ialah cuba fokus kepada maklumat asas.

“Sebagai contoh burung kenyalang. Sebelum ini, kita tak tahu banyak sungguh burung kenyalang Malaysia yang mendiami hutan paya gambut di Pahang. Terdapat banyak juga fauna yang unik. Selepas membuat analisis ke atas hasil penemuan, langkah berikutnya adalah untuk melihat cabaran dan ancaman terhadap hutan dan penghuninya. Semuanya itu dimasukkan ke dalam pelan bertindak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek Kebangsaan untuk Projek HPG, Dr Abdul Rahim Nik, berkata, bahawa usaha-usaha pemuliharaan HPG di Pahang Tenggara juga mengambil kira kebajikan Orang Asli iaitu masyarakat Jakun yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan.

Pelbagai projek telah diperkenalkan kepada mereka termasuk mewujudkan taman herba dan memulakan ternakan ikan sangkar bagi mengurangkan eksploitasi produk bukan kayu dari HPG untuk tujuan komersial.

Mengenai projek HPG UNDP ini, Dr Abdul Rahim memberitahu satu pelan menyeluruh telah dibuat meliputi kedua-dua tempoh jangka pendek dan jangka panjang iaitu lima hingga 20 tahun.

“Secara keseluruhannya, kami sudah menyiapkan 32 preskripsi pengurusan. Kami, kini berada dalam proses akhir untuk menghasilkan pangkalan data termasuk semua flora dan fauna dalam hutan paya gambut.

“Pangkalan data ini boleh digunapakai oleh pembuat dasar untuk sebarang proses membuat keputusan dan juga untuk tujuan pemantauan,” kata beliau dengan menambah bahawa pihaknya juga telah menghasilkan panduan pembalakan secara lestari di dalam hutan paya gambut, dengan kerjasama Jabatan Perhutanan, Semenanjung Malaysia.

Dr Abdul Rahim memberitahu projek HPG UNDP yang sepatutnya berakhir tahun ini telah dilanjutkan setahun lagi atas sebab-sebab teknikal.

“Ada beberapa perkara yang kita perlu selesaikan. Lagipun, masih ada baki dana yang membolehkan kami melakukan beberapa perkara termasuk sistem pemantauan yang masih belum dilaksanakan sepenuhnya,” jelasnya. – Bernama

Kembali keRencana/Berita Pilihan

0 ulasan: