Blog about Fish Feed Technology and Aquaculture System.....HOW CAN Keli Omega 3 BE FREE …? Solution : Keli Omega 3 is supported by the advertising shown on each of its pages. You are helping to support Keli Omega 3 every time you see an advertisement,visits the link or signup with a service advertised by our sponsors...or make a donation at the link provided..Thanks you...and you are welcome to visits us again.……

21 Jun 2009

130 Tahun Masih Ganas

Di tengah-tengah sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Kota Tinggi, Johor, terdapat lebih 1,000 ekor buaya sedang dibiakkan. Ternakan reptilia itu merupakan bisnes keluarga yang diusahakan selama tiga generasi.

Diet buaya dipelbagaikan mengikut usia reptilia tersebut.

LELAKI tua berseluar pendek dan berkemeja lusuh itu melangkah ke dalam sebuah kolam berisi air hijau keruh paras betis. Sambil ramah mengalu-alukan kedatangan pelawat, dia tidak sedikit pun menunjukkan rasa gusar.

Ramai yang khuatir kerana jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, tiada ruang untuk dia keluar dari kolam kepungan itu dengan segera, melainkan melalui sebuah pintu kecil berpagarkan kepingan papan.

"Jangan jenguk kepala lebih-lebih. Jangan nak tunjuk-tunjuk jari melepasi pagar ini kalau kalau masih nak makan guna tangan," ujar Ng Kok Ting, 51, sambil tersengih. Dalam menahan gelak kerana mendengar kata-kata amaran itu, para pengunjung tetap berjaga-jaga.

Ini bukan ladang ternakan haiwan jinak atau petting zoo yang disambut oleh burung atau mamalia comel. Ia sebuah ladang ternakan buaya - lebih 1,000 ekor kesemuanya.

Siapa sangka, di tengah-tengah kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Belanding, Teluk Sengat di daerah Kota Tinggi, Johor tersembunyi sebuah 'habitat' buaya seluas satu hektar.

Sambil menjawab soalan orang ramai tentang sifat reptilia besar itu, Ng Kok Ting sempat berkongsi kisah tentang asal-usulnya. Datuknya telah berhijrah ke Malaysia dari Teochow, China ketika bapanya, Ng Chin Chew, berusia 12 tahun. Sejak itulah, bapa Kok Ting memulakan kehidupan baru di perkampungan nelayan di daerah itu.

PELAWAT gemar pada aksi buaya yang mengangakan mulut dan melibas ekor apabila diacah.

"Ketika di China, bapa saya mencari nafkah dengan membantu kerja datuk sebagai nelayan. Kemahiran tersebut ingin dia manfaatkan ketika membuat keputusan untuk bermastautin di sini," imbasnya yang memiliki 10 orang adik-beradik.

Di China, bapa Kok Ting senang dengan kerja-kerja nelayan termasuk membantu menjual hasil tangkapan datuknya di pasar.

Katanya, idea menternak buaya bermula daripada pemerhatian bapanya di pasar tersebut. Selain bersaing dengan ramai peniaga ikan, terdapat juga peniaga yang menjual daging buaya dan ia mendapat sambutan yang menggalakkan. Dari situlah bapanya menanam azam untuk mencari tapak sesuai bagi menternak reptilia itu di Kota Tinggi.

Kini, penjagaan buaya-buaya itu menjadi tanggungjawabnya - generasi ketiga. Namun bagi Kok Ting sendiri, permulaannya sedikit terlewat. Dia memulakan ternakannya pada usia 48 tahun dengan membeli 10 ekor buaya, sementara yang lain adalah diwarisi daripada bapa dan datuknya. Daripada jumlah yang dimiliki, buaya-buaya itu dibiakkan dari semasa ke semasa.

"Penjagaan ladang ternakan ini memerlukan belanja besar sehingga ribuan ringgit sebulan. Selain penyenggaraan kawasan dan upah pekerja, saya perlukan sekurang-kurangnya tiga tan daging ayam sehari untuk makanan buaya-buaya ini.

"Buaya bersaiz sederhana sahaja perlu makan seekor ayam sebanyak tiga kali sehari," ujar bapa kepada tiga orang anak ini.

Sempat juga Kok Ting menunjukkan aksi menarik membaling ayam ke dalam kolam. Bagai anjing yang menangkap frisbee dengan mulut, begitu juga dengan buaya-buaya yang berebut mendapatkan habuan itu.

Kok Ting biasa membawa pengunjung ke semua kolam ternakannya. Terdapat kira-kira lapan buah kolam bebas dan 30 kolam kepungan simen. Oleh kerana bilangannya terlalu banyak, tidak menjadi amalannya untuk memberi nama seperti haiwan peliharaan di rumah.

Cuma yang paling diingati adalah beberapa ekor buaya istimewa, seperti yang lahir dengan tubuh bengkok, tanpa ekor, serta yang berusia lebih sekurun.

Tiba di salah sebuah kolam simen dengan kedalaman tiga meter, Kok Ting sengaja mengacah-acah permukaan air keruh itu dengan sebatang galah sambil meminta jurugambar bersedia.

Sejurus lopak tenang itu diganggu, kami terkejut apabila seekor buaya sepanjang kira-kira lima meter mengangakan mulutnya untuk menangkap hujung galah itu. Berderap kuat bunyinya apabila rahang buaya itu berlaga.

Lantaran terus diacah, buaya yang marah diganggu itu mengeluarkan bunyi mendengus yang menggerunkan. Berkali-kali juga ia melibaskan ekor hinggakan terpercik air hanyir ke beberapa peserta lawatan. Buaya itu diberitahu berusia 130 tahun.

"Buaya ini dipelihara oleh mendiang datuk dan bapa saya dan kini saya pula menjaganya. Walau sudah tua dan banyak kehilangan gigi, ia masih ganas dan bahaya. Kalau berani masuklah ke dalam," Kok Ting berseloroh.

"Sekali dia 'ngap', kekuatan tekanan rahangnya adalah kira-kira 2,500 paun. Kalau terkena, cubalah lepaskan diri!

"Buaya memang tidak kenal tuan. Beri makan hari-hari sejak kecil pun dia masih hendak gigit. Saya dan pekerja perlu sentiasa berhati-hati. Lebih-lebih lagi pada buaya betina yang sedang menjaga telur-telurnya," terang Kok Ting tentang fitrah reptilia ganas itu.

Biarpun bilangan buaya yang banyak itu telah menukar kawasan ternakannya menjadi tumpuan pengunjung, buaya-buaya yang diternak oleh Kok Ting masih belum dapat dijual. Dia masih berharap agar permohonan lesen menjual dapat diluluskan oleh Jabatan Perhilitan.

Jika dahulu buaya-buaya ini diwarisi atas sebab minat, kini Kok Ting menyedari bahawa secara tidak langsung ladang ternaknya sudah menjadi tarikan pelancongan istimewa di Teluk Sengat.

Kalau dia tidak menjaga 'anak-anaknya' yang berkulit keras itu, bapa kepada tiga orang anak ini akan menghabiskan masa menguruskan operasi sebuah restoran makanan laut yang terletak tidak jauh dari ladang ternak itu.

"Walau sudah ada ramai pembantu yang boleh dipercayai, saya tetap mahu bekerja seperti biasa. Hari-hari fikir tentang kos dan tanggungan, untung dan rugi.

"Kalau saya ada di ladang ternakan ini, saya suka melayan pertanyaan pengunjung. Macam-macam yang ditanyakan. Mahu lihat buaya-buaya saya? Datanglah ke sini!"

Kembali ke Rencana/Berita Pilihan

0 ulasan: