Ramai pemburu di Kanada kini terpaksa 'menggantung' senapang atau jerat mereka. Harga daging dan bulu binatang buruan yang semakin rendah menyebabkan pekerjaan itu kini sekadar hobi.
Dengan kasut salji tersarung di kaki dan tangan pula menggenggam stereng kereta salji, pemburu Martin Blais mula menuju ke laluan hutan kecil di perkampungan Quebec untuk mencari binatang buruan.
"Kami dapat menangkap sesuatu," katanya selepas memberhentikan kereta dan menunjukkan ke satu arah berhampiran hutan kecil tersebut.
Dengan senyuman lebar di sebalik janggutnya yang baru tumbuh, Blais berjalan ke arah perangkap yang dipasangnya sehari sebelum itu.
Seekor rubah yang sudah hampir membeku terbaring tidak bergerak di dalam keputihan salji di dalam perangkap tersebut.
"Satu tangkapan yang baik," katanya kepada diri sendiri sambil mengeluarkan haiwan yang telah mati itu daripada perangkap.
Dia kemudian membetulkan semula perangkap tersebut sambil meletakkan daging memerang segar bagi memerangkap mangsa seterusnya. Berhampiran kawasan itu, dia menabur cebisan bulu-bulu haiwan bagi menarik perhatian mangsanya.
Berpuas hati dengan hasil buruannya, Blais kembali ke kereta salji dan memandu ke perangkap seterusnya yang dipasang di pinggir Chertsey, sebuah bandar kecil lebih kurang 100 kilometer dari utara Montreal, Kanada.
Dia akan menjemur kulit haiwan yang ditangkap apabila kembali ke rumah pada petang harinya.
"Sekitar 20 tahun lalu, kulit rubah betina seperti yang baru saya peroleh tadi bernilai RM2,576. Tetapi sekarang saya mungkin mendapat RM322 untuk tangkapan ini atau jika saya bertuah mungkin RM402," katanya.
"Memburu sebagai pekerjaan masih wujud di Kanada. Tetapi disebabkan penawaran harga yang rendah pada waktu ini, hanya terdapat beberapa pemburu sepenuh masa.
"Anda boleh mengira dengan jari berapa orang pemburu yang bergantung dengan pekerjaan ini sebagai sumber rezeki.
Namun, ada juga yang menjadikannya sebagai kerja sampingan untuk menambah pendapatan," ujarnya lagi.
Selain itu, kempen memperjuangkan hak haiwan secara tidak langsung menyebabkan permintaan terhadap kulit atau bulu haiwan ini berkurangan.
"Saya anggap kerja ini sebagai hobi yang dilakukan dalam masa beberapa bulan setiap tahun kerana belanjanya terlalu banyak.
"Saya tidak boleh menjadikannya sebagai sumber rezeki kerana bayarannya tidak mencukupi," kata Blais yang bekerja di syarikat pembinaan jika tidak berburu.
Berhadapan dengan harga bulu haiwan yang rendah, bahan api untuk kereta salji yang tinggi dan menggantikan daging baru untuk perangkap menyebabkan ramai pemburu tidak mahu meneruskan aktiviti ini.
Musim berburu di Kanada biasanya bermula pada Oktober dan berakhir pada bulan Januari.
Pada penghujung musim, banyak perangkap masih kekal kosong atau dipenuhi dengan tupai mati.
Aktiviti ini telah dilakukan sejak 400 tahun dahulu dan diwarisi daripada ayah kepada anak dan cucu.
Sejajar dengan perkembangan zaman, pengetahuan itu juga boleh ditemui di dalam buku dan internet.
"Forum kami secara online telah memperoleh 40 ahli yang masing- masing mempunyai pengalaman memburu selama 30 tahun.
"Mereka gembira dapat berkongsi pengetahuan dengan generasi muda," jelas Blais.
"Selepas enam bulan menerima khidmat nasihat di laman web, salah seorang pemburu muda berjaya menangkap tujuh ekor koyote, 50 ekor memerang dan 30 ekor rakun dalam musim pertamanya." - AFP
0 ulasan:
Comment/FAQ